Tasauf Dan Tariqat
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, tasawuf dalam penggunaan ahli sufi merujuk kepada akhlak dan proses penyucian jiwa (rujuk siri penerangan tasawuf sebelum ini). Adapun golongan yang tidak mahu menggunakan istilah tasawuf, tidak mengapa. Apa yang paling penting, bukan nama, tetapi mafhum dan makna tasawuf itu sendiri, merupakan suatu kewajiban bagi setiap umat Islam.
Sepertimana dalam ilmu fiqh, kalau ada yang mengatakan, “saya menolak penggunaan nama ilmu fiqh”, namun kewajiban keatasnya untuk beramal dengan mafhum dan makna ilmu fiqh tersebut tetap tidak gugur, kerana ilmu fiqh merupakan istilah yang merujuk kepada syariat, dan syariat wajib diikuti oleh setiap umat Islam.
Begitu juga dengan golongan yang mendakwa, kononnya mereka menolak penggunaan istilah tasawuf, namun mafhum dan makna tasawuf tersebut wajib juga dilaksanakan kerana mafhum dan makna istilah tasawuf merujuk kepada ilmu akhlak dan penyucian jiwa, dan penyucian jiwa ialah wajib bagi setiap individu muslim.
Nama tidak penting. Apa yang penting ialah makna! Gunalah nama apa sekalipun, tetapi ia tetap merujuk kepada suatu makna yang fardu ke atas umat Islam iaitu, penyucian jiwa dan berakhlak dengan akhak yang mulia.
Tarikat Sufiyah
Tarikat bermaksud jalan yang dilalui oleh seseorang. Apabila dinisbahkan kepada golongan sufi, ianya merujuk kepada suatu penggunaan khas yang bermaksud, manhaj sesuatu golongan sufi dalam tarbiah.
Satu tarikat merujuk kepada seorang mursyid, dengan bilangan anak murid yang ramai, dengan manhaj tarbiah yang tertentu, seperti himpunan zikir-zikir dan sebagainya. Ini dikenali dengan tasawuf amali (rujuk buku Tasawuf Amali karangan Sheikhuna Ust Rahimuddin An-Nawawi Al-Banteni).
Ianya dikenali pada awal kurun kelapan hijrah. Dikatakan, orang yang pertama mengasaskan suatu bentuk manhaj tarbiah yang sistematik ialah Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a.. Manhaj tarbiah ini dikenali dengan Tarikat Sufiyah.
Walaupun tidak dapat dinafikan, sebelum Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. lagi, sudah wujud tarikat-tarikat sufiyah, seperti tarikat Al-Junaidiyah (yang dinisbahkan kepada Imam Junaid r.a.) dan sebagainya, namun tarikat-tarikat sebelum Sheikh Al-Jailani r.a. tidaklah dalam bentuk sistematik dan tersusun. (rujuk buku Tasawuf Amali).
Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. mengasaskan gagasan baru dalam lembaran sejarah sufi apabila membuat suatu madarasah secara terbuka dan mengambil anak murid yang ramai dalam satu masa, dan menyusun manhaj tarbiah yang berlandaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Hal ini menyebabkan beliau juga merupakan mujaddid dalam dunia sufi yang menunjukkan kepentingan Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam manhaj tarbiyah sufiyah, di samping menegaskan bahawa, Hakikat tidak terpisah dengan Syariat. Idea asal islah dan tajdid dalam dunia sufi ini sebenarnya diambil dari Imam Al-Ghazali r.a. melalui karangan-karangan beliau seperti Ihya’ Ulumiddin, yang membahaskan mengenai tajdid ini secara teori, dan diterjermahkan ke dalam realiti oleh Sheikh Al-Jailani r.a..
Setelah itu, para murid Sheikh Al-Jailani r.a. menisbahkan manhaj tarbiah mereka kepada mursyid mereka iaitu, Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a., dengan nama tarikat Qadiriyah. Setelah itu, muncullah ulama’-ulama’ sufi lain yang melakukan metodologi tarbiah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a., seperti Sheikh Abul Hasan As-Syazuli, Sheikh An-Naqsyabandi dan sebagainya. (rujuk buku Tasawuf Amali).
Manhaj tarbiah mereka yang tersusun tersebut dikenali sebagai tarikat sufiyah. Dari sini, jelaslah bahawa, tarikat sufiyah tidak lain melainkan suatu madrasah tarbiah penyucian jiwa, hasil ijtihad para ulama’ sufi, dalam mentarbiah manusia. Sepertimana dalam bidang fiqh, ada mazhab tertentu, begitu juga dalam bidang penyucian jiwa, ada pelbagai manhaj tarbiah yang berbeza, sesuai dengan keadaan manusia dan sejajar dengan ijtihad para mursyid sufi yang jujur tersebut.
Adapun pertuduhan-pertuduhan ke atas tarikat sufiyah sebenarnya merupakn pertuduhan yang tidak berasas. Walaupun terdapat di kalangan para sufi yang bercanggah dengan ajaran Islam, namun ianya turut dikritik dan ditegur oleh para ulama’ sufi itu sendiri. Namun, sikap mengkafirkan sesetengah golongan sewenang-wewenagnya yang dibawa oleh aliran salafiyah wahhabiyah tidak pernah mebaiki keadaan bahkan lebih mengeruhkan keadaan.
Para ulama’ sufi turut menegur kesalahan-kesalahan para murid yang melampaui batasan Islam. Ini juga merupakan intipati ajaran sufi, yang membetulkan setiap kesalahan murid hatta kesalahan mereka yang berlebih-lebihan dalam sesetengah perkara, seperti kepercayaan penuh terhadap ilham, keinginan mendapatkan karamah dan lain-lain lagi.
Kalau kita lihat, ramai di kalangan para ulama’ Islam yang menegur kesalahan-kesalahan sesetengah golongan sufi itu sendiri, merupakan dari kalangan sufi juga, seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Junaid Al-Baghdadi r.a., Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a., Imam Ar-Rifa’i r.a., Imam As-Syazuli r.a. dan sebagainya. Ini kerana, di sisi golongan sufi, ada mutiara yang lebih berharga dari debu-debu yang melingkari kulitnya, hasil kejahilan sebahagian dari golongan sufi sendiri.
Kebanyakkan Para Ulama’ Memilih Jalan Sufi
Jika kita singkapi sejarah umat Islam, kita dapati bahawa, ramai di kalangan ulama’-ulama’ besar Islam yang mengambil jalan sufi atau bersahabat dengan para sufi yang muhaqqiq. Antara mereka adalah, Al-Imam As-Syafi’e r.a. (rujuk buku Kasyfu Khafa’ m/s 341 karangan Imam Al-‘Ajluni), Imam Ahmad bin Hanbal r.a. (ghuza’ul albab m/s 1/120 dan tanwir Al-Qulub karangan Imam Al-Kurdi, m/s 405), Imam Abu Hanifah (Ad-Dur Al-Mukhtar 1/43), Imam Al-Ghazali r.a., Imam Junaid r.a., Imam Ar-Razi r.a., Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam r.a. dan sebagainya.
Jangan risau! Jalan tarikat sufiyah tidak wajib. Sesiapa yang ingin mengambilnya, dipersilakan, dan sesiapa yang boleh menyucikan diri sendiri juga silakan.
Tetapi, para ulama’ muktabar yang memiliki ilmu Islam yang yang cukup mendalam juga, seperti yang disebutkan sebelum ini, turut mengambil tarikat sufiyah untuk menyucikan jiwa mereka.
Imam As-Sya’rani (digelar sebagai As-Syafi’e As-Shoghir) menegaskan bahawa: “Kalaulah Imam Al-Ghazali, sebagai Hujjatul Islam dan Imam Izz Abdul Salam, sebagai Sultonul ‘Ulama’, turut mengambil jalan sufi sebagai jalan membersihkan jiwa, dengan mengambil tarbiah dari para sufi, maka siapakah kita, untuk tidak mengambil jalan tarikat sufiyah untuk menyucikan jiwa?”
Takkala Imam As-Sya’rani yang merupakan As-Syafi’e As-Soghir sekalipun, mengakui kelemahan beliau dalam menyucikan jiwanya sendiri dari sifat-sifat mazmumah, dengan keilmuan beliau yang tinggi, siapalah kita untuk menyucikan jiwa kita sendiri?
Tetapi, siapa yang rasa, kononnya dirinya boleh menyucikan jiwa dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah sendiri, silakanlah. Sedangkan Imam Al-Faqih Abu Hanifah Imam Al-Mujtahid As-Syafi’e, Imam Al-Muhaddith Ahmad bin Hanbal, Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali, Imam Sultonul ‘Ulama’ Ibn Abdi As-Salam, Imam As-Syafi’e As-Soghir As-Sya’rani (radhiallahu ‘anhum ajma’in), juga mengambil tarbiah penyucian jiwa dari golongan sufi, atau sekurang-kurangnya bersahabat dengan golongan sufi, untuk menyucikan jiwa, siapalah kita untuk menyucikan jiwa kita dengan sendirinya?
Ya, benar! Khabar gembira buat mereka yang belum ambil jalan sufiyah, untuk menyucikan jiwa, kerana tarikat sufiyah bukanlah suatu kewajiban, selagimana diri sendiri boleh menyucikan jiwa tanpa melalui proses tarbiah dari seorang mursyid. Boleh jadi juga, mereka lebih hebat dari Imam Al-Ghazali yang merupakan hujjatul Islam dan selain dari beliau. Masya Allah…Subhanallah…
Kalaulah sememangnya penyucian jiwa boleh dilakukan hanya dengan merujuk kepada kitab-kitab seperti Al-Qur’an dan kitab himpunan hadis-hadis, sudah tentu Allah s.w.t. akan turunkan Al-Qur’an dalam bentuk kitab dan himpunan hadis-hadis dalam bentuk buku yang sudah terhimpun, tanpa mengutuskan Rasulullah s.a.w. sebagai Murabbi dan Mursyid para sahabat.
Ramai orang awam yang keliru dalam masalah ini. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa, para ulama’ adalah pewaris para nabi, bererti juga mereka (para ulama’) yang amilin (yang beramal dengan ilmu) mewarisi juga Al-Bashirah (pandangan mata hati) yang membolehkan mereka berijtihad dalam masalah fiqh berlandaskan nas-nas Islam, dan menyucikan jiwa dengan pandangan mata hati dan pengalaman ditarbiah oleh seorang mursyid sebelum beliau.
Di sini, letaknya kepentingan mengambil tarbiah dari seseorang yang sudah ditarbiah. Oleh yang demikian, para sahabat mengambil tarbiah dari Rasulullah s.a.w. yang sudahpun ditarbiah oleh Allah s.w.t., dan seterusnya para tabi’in mengambil tarbiah dari para sahabat, dan begitulah seterusnya sehingga hari ini. Inilah yang dikenali sebagai silsilah tarbiah dengan izin, yang tidak difahami oleh kebanyakkan para awam sehingga memperkecilkannya.
Kalaulah sememangnya tarbiah boleh dilakukan dengan sendiri, cukup merujuk kepada kitab Al-Qur’an dan buku-buku himpunan Hadis, nescaya Allah s.w.t . hanya mengutuskan dua kitab tersebut (Al-Qur’an dan As-Sunnah) atau mengutuskan Rasulullah s.a.w. dalam tempoh masa sehari dua untuk menyampaikan dua kitab tersebut kepada para sahabat.
Kebangkitan Rasulullah s.a.w. di kalangan umat manusia pada ketika itu, dan dakwah Baginda s.a.w. selama 23 tahun, hidup dengan para sahabat, merupakan mesej yang penting kepada kita, tentang kepentingan berguru dalam mengambil tarbiah, sepertimana para sahabat mengambil tarbiah dari Rasulullah s.a.w., para tabi’in mengambil tarbiah dari para sahabat dan begitulah seterusnya.
Bagi mereka yang tidak memahami konsep Sunnah, menganggap buku-buku hadis sahaja merupakan sunnah, tanpa memerhatikan kefahaman Sunnah itu sendiri, di mana ianya menunjukkan tentang kepentingan mursyid dalam mendidik dan menyucikan jiwa.
